Kini, media seperti telah dirakyatkan sehingga sesiapa saja
boleh jadi penyiar, setelah punyai akaun di media sosial. Lantaran itu,
lahirlah karyawan-karyawan baru di era ini, menokok-nambah cerita wara tentang
anda.
Ungkapan-ungkapan seperti ‘Makcik Bawang’, ‘Akak Bawang’, ‘Abang
Bawang’ bolehlah dikatakan sebagai gelaran bagi karyawan-karyawan baru media
sosial yang tumbuh bagai cendawan di musim hujan. Sungguhpun, masih tiada huraian yang tepat, namun ungkapan-ungkapan
tersebut dikaitkan dengan perbuatan mereka yang gemar mengumpat, khususnya di
saluran-saluran media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan lain-lain. Sebagai
contoh, sekarang ini sesiapa saja boleh bercerita apa saja tentang orang lain
melalui media sosialnya.
Malah, orang yang sama boleh juga sentuh mengenai apa saja
di bahagian komen dalam akaun media sosial orang lain. Sekiranya, anda ialah pemilik
akaun media sosial tersebut anda tidak mudah boleh memadam komen itu, walaupun
ianya tidak benar ataupun kurang tepat.
Tapi anda hanya boleh memberi respon sebagai jawapan kepada
komen berkenaan. Dan sekiranya, komen itu dipadamkan, maka ia boleh dianggap
sebagai menyalahi hak kebebasan bersuara ataupun anda boleh dianggap sebagai
seorang yang tiada ketelusan.
Implikasinya, cerita mengenai anda berdua itu akan dapat
diperhatikan pula oleh netizen yang lain.
Apa pun, sesuatu respon yang dibuat wajarlah
benar-benar berkualiti, jika sebaliknya berlaku mungkin akan timbul pula isu
saman-menyaman selepas itu. Dan tiada siapa pun boleh dipersalahkan dalam hal tersebut melainkan responden itu sendiri.
Komunikasi Media Dari Aspek Perniagaan
Dari aspek perniagaan pula, suatu produk atau perkhidmatan
yang baik kini sudah tidak boleh lagi jadi jaminan kejayaan, apabila di
sekelilingnya terdapat gosip atau cerita-cerita negatif maupun separuh benar. Dan
keadaan boleh jadi lebih rumit sekiranya ia dibawa ke laman-laman taksiran konsumer (online consumer review sites) untuk rekod dan perbincangan.
Sebenarnya, hal ini bolehlah dikaitkan dengan perkara asas dalam kemahiran komunikasi media. Dalam komunikasi media, terdapat berbagai proses untuk hasilkan mesej dan komunikasi berkesan. Dan cabarannya pula adalah berbentuk psikologi, fisiologi, fizikal dan juga semantik. Seseorang itu harus kenalpasti sumbernya apabila menangani isu media dan komunikasi. Misalnya, jika anda sebagai seorang ‘penghantar’ mesej, anda akan membazir masa dan tenaga sekiranya gagal memahami bahawa seseorang 'penerima' mesej sudah pun punyai saluran media pilihan masing-masing. Di samping itu, mereka boleh juga memilih untuk menyekat mesej-mesej anda.
Lanskap Media & Komunikasi Pengguna Telah Berubah
Landskap komunikasi pengguna serta media kini telah berubah
dengan begitu drastik sekali dan hakikatnya, tiada seorang pun tahu tentang
semua perkara dan tiada satu jawapan tunggal yang boleh selesaikan semua masaalah.
Malangnya, kebanyakan individu maupun usahawan masih tidak menyedari bahawa
polemik dalam komunikasi media kini boleh mengeruhkan lagi keadaan dan menjejaskan aspek perhubungan serta kelangsungan perniagaan, terutama sekali di
waktu cabaran wabak Covid-19 ini.
Oleh yang demikian, para usahawan dinasihatkan merujuk
kepada pakar komunikasi dan media bagi membantu tangani norma baharu dalam komunikasi media dan di masa yang sama, mengambil peluang-peluang
yang datang bersama dengannya.
Kesimpulan
Pada kesimpulannya, sungguhpun hal-hal berkaitan komunikasi media seperti media
sosial, bebas dimanfaatkan oleh semua orang, namun ia wajarlah digunakan dengan
bijaksana untuk elak implikasi undang-undang, moral dan etika yang ada di sebaliknya.
Lantaran itu, apakah anda sudah ada kepakaran dan disiplin untuk tangani isu media dan komunikasi di era yang mencabar ini?
No comments:
Post a Comment